Perebutan 71 kerusi DUN bukti Pakatan Rakyat gila kuasa  

Posted by ilun olak

ASAJAYA (SARAWAK), 27 Mac (Bernama) — Keghairahan pakatan pembangkang dalam pembahagian 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 kali ini membuktikan mereka hanya mahu berkuasa dan bukannya membela nasib rakyat, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdul Karim Rahman Hamzah di sini.
Beliau berkata pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan parti pembangkang yang berpangkalan di Sarawak Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), hanya mahu memastikan parti mana yang dapat menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya mereka menang pilihan raya nanti.
“Ini menunjukkan pihak pembangkang ini gila kuasa, apa yang berlaku kebelakangan ini kita dapat melihat bahawa pihak pembangkang bergaduh sama sendiri tentang kerusi dan fokus mereka pada masa ini adalah untuk memastikan parti mereka lebih dominan daripada parti yang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis karnival belia 1Malaysia di sini.
Katanya berbeza dengan semangat dalam Barisan Nasional (BN) parti komponennya iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lebih  memahami akan pembahagian kerusi yang telah ditetapkan sebelum ini.
Menurutnya kesepakatan dalam BN merupakan tunjang utama kepada kejayaan parti pemerintah itu kekal mendapat sokongan sekaligus memastikan rakyat segenap lapisan kaum mendapat perhatian tidak kira di mana mereka berada di  negeri ini.
Karim yang juga penyandang kerusi dewan undangan negeri Asajaya berkata pakatan itu kini semakin rapuh dan ia terbukti berikutan ramai pemimpin dan pengikutnya meninggalkan parti kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan pakatan tersebut.
Ketika ini, PKR yang menyandang kerusi Padungan, bertelagah dengan DAP setelah gagal mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi untuk ditandingi dan berhasrat bertanding di 52 kawasan manakala SNAP menyuarakan niatnya untuk
bertanding di 40 kawasan majoriti kaum Dayak.
Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng sebelum ini berkata parti itu akan bertanding di 18 kawasan, tidak bersedia menyerahkan kawasan Batu Kawa, Dudong dan Piasau kepada PKR.
Pada pilihan raya negeri 2006 BN menang 63 kerusi, DAP memenangi enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (menang atas tiket calon bebas 2006) masing-masing menang satu kerusi.
Pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan pada 16 April ini manakala penamaan calon pada 6 April. — BERNAMA

This entry was posted on 23:49 . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments